
27 November 2009 bersamaan 10 Zulhijjah 1430 H, sekali lagi Allah membuka ruang kepada umat Islam di seluruh dunia merayakan hari yang bersejarah dan penuh kemuliaan ini. Tidak ketinggalan, Badan Kebajikan Mahasiswa/wi Islam Pahang (BKMIP) juga membuat sambutan pada 29 November bagi meraikan kemeriahan Aidil Adha di bumi Mesir.
Pada tahun ini, BKMIP dengan kerjasama Pengurusan Yayasan Pahang Kaherah telah berjaya menyediakan sebanyak 1 ekor unta, 1 ekor lembu dan 4 ekor kambing untuk dijadikan korban. Seawal jam 7.00 pagi, pelajar ikhwah mula berpusu-pusu turun ke kandang binatang korban. Acara korban dimulakan pada jam 7.30 pagi. Seterusnya acara melapah daging korban beramai-ramai dilangsungkan di Dataran Kompleks Pahang. Sementara daging korban dilapah, pelajar perempuan sibuk bergotong royong membuat persiapan untuk acara dewan. Pada sebelah petangnya pula, pelajar ikhwah bergotong-royong memasak daging korban tersebut.
Seusai solat Isyak bermulalah acara dewan yang dinanti-nantikan. Kehadiran ahli BKMIP pada kali ini agak memberangsangkan iaitu dengan kehadiran pelajar dirasat dan perubatan yang dianggarkan hampir 200 orang. Ini kerana sambutan Aidil Adha kali ini menyajikan persembahan yang berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya. Kehadiran jemputan VIP tiba seawal jam 8.00 malam. Antara jemputan yang hadir, Pegawai Atase Pendidikan Yayasan Pahang, Encik Ahmad Fared bin Mohd Din dan sekeluarga, Presiden PMRAM Ustaz Abdul Muiz bin Mohamad serta beberapa orang Badan Pengurus dan HEWI PMRAM yang lain.