Isu penggunaan dewan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Jengka oleh Umno negeri Pahang yang berkonvensyen baru-baru ini, makin menarik apabila Datuk Seri Adnan Yaakob berkata PAS juga boleh menggunakan dewan tersebut.
Pengerusi Perhubungan Umno Pahang itu dilaporkan sebuah akhbar harian berbahasa Melayu (Sinar Harian) 24 Februari, berkata PAS boleh menggunakan dewan itu dengan syarat perlu membuat permohonan dengan pihak pentadbiran UiTM terlebih dahulu.
“Mana-mana pihak termasuk parti pembangkang yang berhasrat menggunakan dewan universiti ini juga perlu membuat permohonan secara rasmi dengan pentadbiran UiTM,” katanya ketika berucap pada majlis penutup Konvensyen Umno Pahang.
Adnan berkata demikian dipercayai bagi menjawab kenyataan Ketua Pemuda PAS Kuala Krau, Shahril Azman Abdul Halim dalam akhbar yang sama sebelum itu yang mempertikaikan bagaimana pihak UiTM Jengka boleh mengizinkan dewan intitusi tersebut digunakan untuk Konvensyen Umno bermula 19 hingga 21 Februari lalu.
Sambil menyatakan rasa kesal, Shahril berkata, tindakan membenarkan penggunan tersebut hanya menjatuhkan martabatnya sendiri sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang dihormati. Tambahnya, ketika pihak UiTM cuba menyekat pelajar dan kakitangannya daripada terlibat dengan politik, tiba tiba pihak pentadbiran UiTM sendiri menjadi dalang menyeret institusi tersebut ke kancah politik kepartian.
Shahril yang juga Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang berkata, ini bukanlah kali pertama Umno dapat menggunakan UiTM Jengka untuk aktiviti mereka, bahkan mesyuarat Umno bahagian dan lain-lain acara lagi acap kali diadakan di situ.
Konvensyen tertutup selama tiga hari dengan menghimpunkan pemimpin peringkat bahagian Umno seluruh Pahang itu dirasmikan oleh Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dan ditutup oleh timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sebelum itu, Ketua Penerangan PAS Pusat Ustaz Idris Ahmad pula mahu Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat status penggunaan UiTM Jengka sebagai lokasi konvensyen Umno yang menggunakan fasiliti milik rakyat itu.
Katanya, konvensyen itu jelas bertentangan dengan Akta UiTM 1974 yang tidak membenarkan program politik diadakan di universiti berkenaan.
Menurutnya, walaupun ada peruntukan ‘dengan kebenaran menteri’ tetapi kebenaran yang diberikan itu boleh dipertikaikan kerana selama ini UiTM begitu keras menolak mahasiswa dan kakitangannya melibatkan diri dalam politik, apa lagi membenarkan program politik di dalam kampusnya.
Sementara cerita-cerita daripada pelajar UiTM pula mengatakan apabila Umno berkonvensyen di situ, bilik-bilik mereka telah digunakan sebagai tempat tinggal sementara para perwakilan. Tindakan ini sudah tentu menyusahkan mereka kerana terpaksa memindahkan barangan mereka kerana takut kecurian.
"Bayangkan, kami terpaksa datang dari jauh untuk mengambil barangan anak kami untuk dibawa balik ke kampung kerana bilik mereka diminta dikosongkan untuk tempat tinggal sementara perwakilan Umno Pahang" kata seorang bapa pelajar.
Katanya, beliau telah dihubungi oleh anaknya yang menyuruh beliau datang ke kampus berkenaan untuk mengambil segala barangan untuk dibawa pulang ke kampung buat seketika. Ini kerana bilik mereka digunakan oleh perwakilan Umno Pahang yang berkampung selama tiga hari di situ.
Rupa-rupanya tindakan Umno menggunakan UiTM telah menyusahkan banyak pihak. Tambahan pula para pelajar terbabit baru saja mendaftar masuk untuk belajar di universiti berkenaan kira-kira dua bulan yang lalu.
Bayangkan ada ibu bapa yang terpaksa datang dari luar Pahang, dalam jarak yang jauh semata-mata untuk memunggah pulang barangan anak-anak mereka dari kampus itu.
Apa-apapun, jaminan Menteri Besar Pahang, sama ada dalam keadaan sinis atau sebaliknya, bahawa PAS juga boleh menggunakan dewan UiTM, telah membawa harapan baru kepada Pemuda PAS.
Kerana sebelum ini dewan serbaguna dan balai raya di kampung-kampung dan penempatan Felda, amat sukar sekali digunakan parti-parti selain Umno untuk sebarang aktiviti.